Jul 29, 2009

Haram Berpuasa Pada Hari Tashriq?

naji

Salam

Daripada Nubaisyah Al-Hadzali berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: "Hari-hari Tasyriq adalah hari-hari makan dan minum (bukan hari berpuasa)."

(Hadits riwayat Muslim)

1. Adakah ini menunjukkan larangan (haram) berpuasa pada hari-hari Tashriq? Jika ya apa rasionalnya? Atau adakah ianya khusus untuk mereka yang sedang mengerjakan haji sahaja?

2. Adakah masih boleh berpuasa sunat yang biasa (Isnin Khamis & 13,14,15hb)? Contoh tahun ini 11 ialah hari Isnin manakala 13 adalah hari Tashriq?

Wassalam


JAWAPAN:
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan Naji dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

1. Dari Nubaisyah al-Huzali ra. berkata : Rasulullah saw telah bersabda :-

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ وَذِكْرٍ لِلَّهِط

"Hari2 Tashriq adalah merupakan hari makan, minum dan mengingati Allah" [Hadith Riwayat Muslim #1141]

Hadith ini menyatakan bahawa tidak dibenarkan berpuasa pada hari tersebut. Dr Yusuf al-Qaradhawi didalam Fiqh al-Shiyam menyatakan bahawa hari Tashriq merupakan hari lanjutan kepada Eid al-Adha. Ibadat terbaik pada hari tersebut adalah ibadat korban dan bertakbir, serta bertahmid dan bertasbih kepada Allah swt, dan bukan dengan cara berpuasa.

Pengecualian berpuasa diberikan kepada mereka yang menunaikan Haji Tamattu' atau Qiran yang tidak dapat berjumpa dengan binatang korbannya, bolehlah berpuasa. Ini merupakan pendapat mazhab Hanbali, Maliki dan pandangan lama Syafie. [al-Mawsoo'ah al-Fiqhiyyah, 7/323].

Dari A'isyah ra. dan Ibn Umar ra. berkata :-

لَمْ يُرَخَّصْ فِي أَيَّامِ التَّشْرِيقِ أَنْ يُصَمْنَ إِلا لِمَنْ لَمْ يَجِدْ الْهَدْيَ .

"Tiada ruhsah membenarkan berpuasa di hari-hari Tashriq, melainkan bagi jemaah yang tidak berjumpa dengan binatang korban" [hadith Riwayat al-Bukhari #1998].

Berkata Imam al-Nawawi rh :-

واعلم أن الأصح عند الأصحاب هو القول الجديد أنها لا يصح فيها صوم أصلا , لا للمتمتع ولا لغيره . والأرجح في الدليل صحتها للمتمتع وجوازها له ؛ لأن الحديث في الترخيص له صحيح كما بيناه ، وهو صريح في ذلك فلا عدول عنه

"Ketahuilah bahawa pandangan yang terbenar dari Qaul Jadid (pandangan baru mazhab Syafie) bahawa sesungguhnya tidak sah berpuasa asalnya, samada jemaah yang menunaikan Haji Tamattu' atau yang lain. Dan pandangan yang rajih berdasarkan dalil bahawa SAH puasa bagi jemaah yang mengerjakan Hai Tammatu' dan dibolehkan untuknya, kerana hadith yang membenarkan ini adalah sahih sebagaimana yang kami jelaskannya, dan ia terang/jelas menunjukkan begitu, maka ia tidak boleh diabaikan" [al-Majmu' Sharh Muhazzab, 6/486].

2. Larangan berpuasa ini meliputi semua jenis puasa sunat [Majmu' Fataawa Ibn Baaz, 15/381]. Malah kata Ibn Utsaimin rh, bagi mereka yang wajib melakukan 2 bulan puasa pun tidak di benarkan. [Majmu' Fataawa Ibn 'Utsaimin, Jilid 20, soalan# 419].

Kesimpulannya : Tidak dibenarkan berpuasa pada Hari-Hari Tashriq, melainkan jemaah Haji yang tidak menjumpai binatang korban. Ini sebagai ketaatan kepada hadith Nabi saw, dan ia jelas menunjukkan bahawa hari Tashriq masih merupakan Hari Eid al-Adha.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment