Jul 25, 2009

Iktikaf 10 Terakhir Ramadhan

ateed

Salam

Selamat Menjalani Ibadah Puasa to all netters. Semoga Ramadhan kali ini benar-benar membekalkan kemurniaan dan ketaqwaan jiwa. Sesungguhnya jiwa yang tertanggal dosa-dosa dan bersih putih kerana disaluti dengan taqwa pemberian Allah kepada hamba-Nya yang berpuasa di siang hari dan berqiamullail di malam hari adalah cukup hidup dan kuat.

Ana ada sikit kemusykilan berkenaan iktikaf Bagaimana cara Sunnah dalam mengamalkan iktikaf 10 akhir Ramadhan. Adakah cara yang diamalkan oleh brothers dalam Jamaat Tablighi merupakan Sunnah dan cara yang diamalkan oleh salafussoleh. Atau mungkin ada cara yang mungkin dapat dijelaskan oleh syeikh2 kita..

Wassalam

JAWAPAN:
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Terima kasih sdr ateed, moga-moga kita semua akan mencapai maqam taqwa didalam menjalani ibadat puasa pada tahun ini, Insyaallah.
Iktikaf (الاعتكاف) merupakan satu amalan yang sahih dari Nabi saw, dan diamalkan orang para shahabat, salaf al-soleh, tabien dan mereka yang mencintai sunnah. Apabila berbicara mengenai iktikaf, maka tergambarlah beberapa persoalan didalamnya, seperti bilakah tarikh afdal melakukan iktikaf, dimana disunatkan beriktikaf dan apakah syarat-syarat yang dikenakan kepada mereka yang menjalani ibadat iktikaf. Bagi memudahkan kita memahami ibadat iktikaf ini, kami ingin meringkaskan bab iktikaf yang telah ditulis oleh muhadith Sheikh Nasyiruddin Al-Albani didalam kitabnya Risaalah Qiam Ramadhan.

Iktikaf dari segi syara'

1. Amalan iktikaf ini merupakan satu amalan sunat yang terdapat nasnya didalam Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih. Telah thabit dari Nabi saw beriktikaf di akhir kesepuluh dari bulan syawwal. Hadith diriwayatkan oleh kedua sheikh, ibnu Khazimah, dan didalam Sahih Abi Daud #2127.

2. Telah jelas (confirm) sunat beriktikaf didalam hadith sahih dari Abu Hurairah dimana Nabi saw telah beriktikaf pada setiap Ramadhan 10 hari. - Hadith diriwayatkan oleh Al-Bukhaari dan Ibnu Khazimah.

3. Afdal dilakukan pada akhir Ramadhan, iaitu 10 malam yang terakhir, seperti mana hadith dari kedua-dua sheikh, Ibn Khazimah #2223, dikeluarkan didalam Al-Irwa' #966, dan Sahih Abu Daud.

Syaratnya :

1. Di syaratkan hanya di masjid, sepertimana didalam Al-Quran surah Al-Baqarah #187 dan didalam hadith A'isyah yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi.
2. Beriktikaf di masjid jami'.(Riwayat Baihaqi)

Perkara yang dibolehkan semasa beriktikaf

1. Boleh keluar dari masjid untuk qada' hajat, membersihkan diri dan mandi.(Hadith riwayat kedua sheikh, Ibn Syibah dan Ahmad)

2. Boleh mengambil wudhu dimasjid, kerana diriwayatkan Nabi saw mengambil wudhu' yang ringan di masjid (hadith riwayat Baihaqi dgn sanad jayid, Ahmad 5/364)

3. Dibolehkan mendirikan khemah kecil di penghujung masjid, kerana A'isyah ra. pernah memberi Rasulullah saw khemah semasa beliau beriktikaf (hadith riwayat Al-Bukhaari dan Musim)

4. Dibenarkan isteri melawat suami yang sedang beriktikaf. (hadith dikeluarkan kedua Sheikh, dan Abu Daud).

5. Berjima' akan membatalkan iktikaf, akan tetapi tidak ada kifarat baginya. (hadith riwayat Ibn Syaibah 3/92).
(tamat ringkasan bab Iktikaf buku Risaalah Qiam Ramadhan)

--------------
Bila yang diafdalkan beriktikaf?

Dari point buku al-albani tadi menyatakan bahawa Nabi saw pernah beriktikaf dari Syawwal dan juga setiap kali bertemu bulan Ramadhan. Soalan ini pernah dikemukan kepada Al-Lajnah Al-Daaimah Arab Saudi, dan katanya :

نعم يجوز الاعتكاف في أي وقت ، وأفضله ما كان في العشر الأواخر من رمضان ؛ اقتداءً برسول الله عليه الصلاة والسلام وأصحابه رضي الله عنهم ، وقد ثبت عنه صلى الله عليه وسلم أنه اعتكف في شوال في بعض السنوات .

Benar, adalah dibolehkan beriktikaf bila-bila, lebih afdal dilakukan 10 terakhir didalam ramadhan, mencontohi Rasulullah saw dan Sahabat-sahabatnya. Telah thabit Nabi saw sesungguhnya pernah beriktikaf didalam bulan Syawwal dibeberapa tahun. (Fataawa al-Lajnah Al-Daa'imah, 10/410)

Apakah boleh keluar dari masjid semasa melakukan iktikaf?

Menurut Al-Lajnah Daaimah :

السنة ألا يزور المعتكف مريضاً أثناء اعتكافه ، ولا يجيب الدعوة ، ولا يقضي حوائج أهله ، ولا يشهد جنازة ، ولا يذهب إلى عمله خارج المسجد ، لما ثبت عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت : ( السُّنَّةُ عَلَى الْمُعْتَكِفِ أَنْ لا يَعُودَ مَرِيضًا ، وَلا يَشْهَدَ جَنَازَةً ، وَلا يَمَسَّ امْرَأَةً وَلا يُبَاشِرَهَا ، وَلا يَخْرُجَ لِحَاجَةٍ إِلا لِمَا لا بُدَّ مِنْهُ ) رواه أبو داود (2473) اهـ .

"Sunnah bagi mu'takif tidak melawat orang yang sakit semasa iktikafnya, atau menerima apa-apa jemputan, atau menyelesaikan keperluan keluarga, atau menghadiri upacara kematian, atau keluar bekerja di luar masjid, kerana disana ada dalil bahawa A'isyah r.a. berkata :"Sunnah ekatas mu'takif (orang yang beriktikaf) tidak melawat orang sakit, atau menghadiri majis kematian, atau menyentuh isterinya atua keluar untuk sebarang hajat melainkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan" Riwayat abu Daud #2473- (Fataawa Al-Lajnah Al-Daa'imah 10/410).

Seseorang itu dibenarkan keluar bagi sebab yang tidak dapat dielakkan, seperti membuat air besar/kecil, mengambil wudhu', membawa makanan jika tidak ada yang membawanya, atau apa-apa perkara yang tidak boleh dielakkan yang memerlukan ia keluar dari masjid. Ibu Qudaamah berkata didalam Al-Mughni (4/446) :

وَالْمُرَادُ بِحَاجَةِ الإِنْسَانِ الْبَوْلُ وَالْغَائِطُ , كَنَّى بِذَلِكَ عَنْهُمَا ; لأنَّ كُلَّ إنْسَانٍ يَحْتَاجُ إلَى فِعْلِهِمَا , وَفِي مَعْنَاهُ الْحَاجَةُ إلَى الْمَأْكُولِ وَالْمَشْرُوبِ , إذَا لَمْ يَكُنْ لَهُ مَنْ يَأْتِيهِ بِهِ , فَلَهُ الْخُرُوجُ إلَيْهِ إذَا احْتَاجَ إلَيْهِ . . . وَكُلُّ مَا لا بُدَّ لَهُ مِنْهُ , وَلا يُمْكِنُ فِعْلُهُ فِي الْمَسْجِدِ , فَلَهُ الْخُرُوجُ إلَيْهِ , وَلا يَفْسُدُ اعْتِكَافُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ , مَا لَمْ يُطِلْ اهـ .

"Apa yang dimaksudkan ialah perkara yang diperlukan oleh setiap manusia seperti buang air kecil dan air besar, kerana setiap orang perlu melakukannya. Begitu juga dengan kehendak kepada makanan dan minuman. Jika tidak ada orang yang membawa makanan dan minuman, maka bolehlah dia keluar mendapatnya jika diperlukan. Bagi semua perkara yang tidak boleh dilakukan tanpanya dan tidak boleh dilakukan didalam masjid, dia boleh keluar dengan tujuan tersebut, dan perbuatan ini tidak membatalkan iktikaf, selama mana ianya tidak mengambil masa yang panjang"

---------
Apakah amalan Jemaah Tabligh menyamai keaedah atau sunnah Nabi saw beriktikaf? Persoalan ini kami tidak dapat menjawabnya kerana tidak mempunyai maklumat mengenainya. Kalau sdr Ateed mempunyai maklumatnya, bolelah menceritakan kepada kita. Namun demikain, jikalau amalan mereka menepati apa yang dilakukan oleh Nabi saw, maka itulah yang dinama ibadat iktikaf, tanpa mengira siapa yang melakukan. wallahu 'alam

wassalam

=============
Rujukan

1. Syeikh Nasyiruddin Al-Albani. Risaalah Qiam Ramadhan. cetakan ke 6. Damsyik : Maktabah Islamiah, 1413H

2. Al-Lajnah al-Daa’imah li’l-Buhooth al-‘Ilmiyyah wa’l-Ifta’ - 10. Cetakan ke 3. Riyad : Dar Al-Mu'ayyad, 2000.

_________________
kamin
Panel Feqh

Assalamu'alaikum

Sebagai tambahan kepada persoalan diatas, kami ingin menambah sedikit mengenai amalan-amalan yang mustahab (sunat) dilakukan ketika melakukan iktikaf :

Menurut bekas Pengerusi Majlis Fatwa Al-Azhar, Sheikh Atiyah Saqr :-

يستحب للمعتكف أن يكثر من نوافل العبادات، ويشغل نفسه بالصلاة، وقراءة القرآن والاستغفار، والصلاة على النبي ( صلى الله عليه وسلم ) والدعاء، ونحو ذلك من الطاعات، ومن الطاعات دراسة العلم الديني ومذاكرته، أو تعليمه،

"Adalah mustahab ketika beriktikaf membanyakkan ibadat sunat, disibukkan diri dengan melakukan solat, membaca al-Quran, memohon ampun (beristigfar), selawat keatas Nabi saw dan berdo'a. Ini adalah jenis-jenis Taat, dari ketaatan didalam kajian sains agama dan pengajiannya atau pembelajarannya."

Dengan kata lain, Ramadhan dan iktikaf merupakan sebagaian dari proses pentarbiyahan (pendidikan) seorang Islam.

Menurut Dr Salem Ahmad Salamah, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Palestine:-

مستحبات الاعتكاف :
1- الإكثار من الطاعات كالصلاة وقراءة القرآن، وقراءة كتب أهل العلم وغير ذلك من دروس ومواعظ.
2- اجتناب ما لا يعنيه من الأقوال فيجتنب الجدال والمراء والسباب ونحو ذلك والغيبة والنميمة.
3- أن يلزم مكانا من المسجد.

Mustahab didalam Iktikaf :-

1. Meningkatkan ketaatan dengan melakukan solat, membaca al-quran, membaca Kitab ulama'-ulama' dan lain-lain dengan mengambil pengajaran dan nasihatnya.

2. Elakkan dari perkataan yang tidak ada kena-mengena dengannya, elakkan dari berdebat, argue dan salah-guna dan sejenis dengannya seperti mengumpat dan gossip.

3. Tempatnya [iktikaf] adalah didalam masjid

wallahu'alam, wassalam
===========
Rujukan :-

1. Sheikh Atiyah Saqr. الاعتكاف : مستحباته، مكروهاته ، مبطلاته. url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=40071

2. Sheikh Dr Salem Ahmad Salamah. الاعتكاف : مشروعيته وشروطه ومبطلاته ووقته. url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=87140

0 comments:

Post a Comment